ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan minyak di sepanjang laluan 14 kilometer di Permaisuri, Setiu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan minyak di sepanjang laluan 14 kilometer di Permaisuri, Setiu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Sebanyak 24 kenderaan terbabit dalam kemalangan berpunca daripada tumpahan minyak sepanjang 14 kilometer (KM) bermula dari Bandar Permaisuri menghala ke Penarik, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapiae berkata, kejadian itu menyebabkan 11 kereta dan 13 motosikal terbabit dalam kemalangan.

Katanya, mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.02 pagi.

"Seramai 24 anggota bergegas ke lokasi kejadian di Kampung Buruk dengan dibantu BBP Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu, BBP Marang serta BBP Kuala Berang.

"Anggota membuat pembersihan tumpahan minyak menggunakan habuk kayu dan hose reel daripada tiga water tander serta dua water tanker bagi memastikan jalan selamat digunakan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razli berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dan operasi tamat kira-kira jam 3.40 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan mendapati kejadian bermula dari stesen minyak Petronas Bandar Permaisuri di KM 69 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu sehingga Kampung Bukit Kemudu (KM 71 Jalan Permaisuri - Kuala Terengganu).

"Tumpahan minyak diesel dipercayai dari kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mengisi minyak dalam tong di stesen minyak berkenaan.

"Tong itu diletakkan di bahagian belakang kenderaan yang kemudiannya menghala Kuala Terengganu," katanya.

Afandi berkata, mangsa kemalangan hanya cedera ringan.

"Setakat ini Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu hanya menerima lima laporan kemalangan akibat tumpahan minyak itu dan masih ada mangsa kemalangan belum tampil membuat laporan.

"Pelbagai agensi kerajaan selain polis antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat Air Terengganu (SATU) membantu operasi membersihkan tumpahan minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:44 PM