GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Miri: Kanak-kanak lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Masjid, Kuala Baram, di sini, petang hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, mayat mangsa, Muhd Ikram Abdullah, 12, ditemui di bawah timbunan zink sebaik kebakaran dapat dikawal.

Menurutnya, seorang lelaki warga emas, Saban Mangkir, 60, pula cedera apabila melecur kira-kira 30 peratus di bahagian belakang dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

Enam lagi penghuni rumah terbabit yang berusia antara lima tahun hingga 50-an iaitu tiga lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan selamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.59 petang.

Seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng serta BBP Miri dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran rumah jenis separuh kekal dengan struktur binaan kayu pada dinding serta lantai dan bumbung zink.

"Kebakaran memusnahkan keseluruhan rumah itu," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan rapi sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 9:09 PM