Kanak-kanak OKU rentung dalam kebakaran bangunan kedai di Kota Sentosa, Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Kanak-kanak OKU rentung dalam kebakaran bangunan kedai di Kota Sentosa, Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kanak-kanak lelaki kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran bangunan kedai di Kota Sentosa, di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Jindra Hiew Zhi Tao, 12, ditemui oleh anggota bomba di ruang tamu kediaman keluarganya di tingkat atas bangunan kedai berkenaan sejurus kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 5.30 petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.

Beliau berkata, seramai 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Kota Samarahan dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Sebanyak enam unit kedai terbabit dalam kebakaran itu dengan empat daripadanya musnah keseluruhannya.

"Mangsa disahkan seorang kanak-kanak OKU yang tidak dapat bergerak secara normal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Henderi berkata, siasatan awal mendapati, kebakaran itu dipercayai bermula dari kedai runcit di tingkat bawah bangunan kedai dua tingkat itu.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami.

"Mayat mangsa yang ditemui rentung tetapi masih cukup sifat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:34 PM