ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta dengan sebuah motosikal di Jalan Prima Saujana berhampiran sebuah pasar raya, Kajang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta dengan sebuah motosikal di Jalan Prima Saujana berhampiran sebuah pasar raya, Kajang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dengan sebuah motosikal di Jalan Saujana Impian arah Semenyih, Kajang, hari ini.

Dalam kejadian itu, Yap Khiam Heung, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi mangsa masing-masing pemandu kereta Proton Persona, Liew Yeou Haur, 18, serta penunggang dan pembonceng motosikal iaitu Urul Afendy Hasim 28, dan Norini Yusof, 30, dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 8.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Persona dalam perjalanan dari arah Semenyih menghala ke Kuala Lumpur, manakala kereta Perodua Kancil pula dari arah Batu 9 Cheras menghala ke Semenyih ketika kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Persona itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil serta sebuah motosikal Yamaha Y15.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Kancil berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu kereta Proton Persona dan penunggang motosikal terbabit dilaporkan parah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa maut pula dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 7.41 pagi.

Katanya, lapan pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 11:53 AM