Kanak-kanak tujuh tahun yang patah kaki dan seorang mangsa sedih dengan anggota keluarganya yang cedera. - Foto Ihsan Bomba
Kanak-kanak tujuh tahun yang patah kaki dan seorang mangsa sedih dengan anggota keluarganya yang cedera. - Foto Ihsan Bomba
Mohamed Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Seorang wanita maut, manakala tiga sekeluarga cedera selepas dua Perodua Kancil bertembung di KM 4 Jalan Palekbang ke Sungai Pinang dekat Kampung Laut, di sini kira-kira 7.25 pagi tadi.

Suri rumah, Eshah Yahya Sabri, 64, yang tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Kancil dipandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga sekeluarga dalam satu lagi Perodua Kancil yang cedera, dirawat di Hospital Tumpat, di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dipandu Eshah hilang kawalan, terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Kancil dinaiki tiga sekeluarga dari arah Palekbang.

Pegawai Bomba Kanan II Azman Arifin dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat mengetuai enam anggota ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.29 pagi.

"Mangsa yang tersepit disahkan pihak hospital sudah meninggal dunia. Tiga sekeluarga itu pula cedera termasuk seorang kanak-kanak tujuh tahun yang patah kaki," katanya.

Operasi menyelamat tamat pada 8.30 pagi dan mayat mangsa yang maut diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 11:05 PM