Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan. FOTO  PDRM
Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan. FOTO PDRM
Asrol Awang


Pekan: Dua sahabat maut manakala dua lain cedera apabila Perodua Kancil bertembung dengan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, dua mangsa yang maut ialah pemandu dan penumpang kereta iaitu Hasyim Amin, 29, serta Dolah Muhtar, 39.

Sementara dua mangsa lelaki yang cedera adalah pemandu Toyota Hilux berusia 35 tahun bersama penumpang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kancil dalam perjalanan dari arah Chini menghala ke Kuantan.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Hasyim dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux dibawa ke Klinik Kesihatan Chini untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan pada 3.10 petang.

"Anggota bomba menggunakan peralatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta, dan dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 8:06 PM