GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kematian akibat wabak rabies dalam kalangan manusia di Sarawak.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes rabies pertama membabitkan seorang lelaki Malaysia berusia 52 tahun.

"Mendiang menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing atau haiwan mamalia lain.

"Namun, mangsa pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober lalu selepas haiwan ini menggigit dua pekerjanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagaimanapun, bangkai anjing itu tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut.

"Pada 31 Januari lalu, mangsa mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas.

"Keadaan kesihatan mangsa merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari lalu sebelum disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian dengan punca kematian disebabkan jangkitan rabies.

"Diagnosa mendiang disahkan positif rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 6 Februari," katanya.

Menurutnya, dua pekerja yang digigit anjing itu sudah mendapatkan rawatan awal dan kini masih dalam pemantauan susulan oleh pihak kesihatan.

"Kes kedua pula membabitkan seorang warga Malaysia berumur 54 tahun.

"Pada 5 Mac lalu, mendiang dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan.

"Keadaan kesihatan mangsa merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac lalu," katanya.

Katanya, berdasarkan sejarah diberikan, mangsa pernah digigit anjing peliharaannya pada 26 Disember lalu di bahagian dada kanan ketika mengendalikan haiwan itu.

"Pada hari sama, anjing ini diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dihapuskan tetapi tiada sampel untuk ujian rabies diambil.

"Mangsa juga tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit anjing peliharaannya ini.

"Keputusan ujian Rabies PCR ke atas sampel air liur mangsa yang dijalankan di Unimas pada 7 Mac lalu positif wabak itu dan mendiang meninggal dunia di HUS pada hari sama," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kematian itu adalah kes pertama positif rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun ini.

"Pertambahan dua kes baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.

"Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal," katanya.

Katanya, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan bekerjasama dengan DVS Sarawak dan Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehesif.

"Semua rakyat Sarawak dipohon untuk mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal termasuk memastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun daripada klinik veterinar swasta atau kerajaan yang berhampiran.

"Hanya dengan pemberian suntikan vaksin anti-rabies kepada anjing di Sarawak secara berjadual setiap tahun saja yang akan dapat mengurangkan insiden rabies dalam kalangan manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 1:34 PM