PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa maklumat operasi stesen minyak di Johor Bahru. FOTO Ihsan KPDNHEP.
PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa maklumat operasi stesen minyak di Johor Bahru. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan pemantauan di stesen minyak sepanjang 25 kilometer (km) dari Tambak Johor menghala Jalan Skudai di sini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, ia bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalahgunakan petrol RON 95 yang bersubsidi untuk rakyat tempatan.

Beliau turut memberi peringatan kepada pemilik stesen minyak agar tidak menjual petrol jenis itu kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Katanya, tindakan tegas akan diambil segera terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan yang berlaku.

"KPDNHEP menerima maklumat berkaitan warga asing yang mengisi minyak RON 95 termasuk menerusi perkongsian netizen yang tular.

"Bagaimanapun maklumat yang tular berkenaan tidak terperinci termasuk di mana dan bila kejadian terbabit berlaku," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, pengusaha stesen minyak mahu dikenali Rashidah berkata, kebanyakan pengusaha premis itu tidak sedar tindakan warga asing, apatah lagi mereka membuat pembayaran menerusi kad kredit dan mengisi minyak ketika premis agak sibuk.

"Sekiranya stesen minyak berkonsepkan layan diri, lebih rumit bagi kami untuk mengesan perbuatan berkenaan melainkan sentiasa memerhatikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Kami bukan mahu mengaut keuntungan sebaliknya kejadian berlaku tanpa disedari, namun kami akan lebih peka bagi mengelakkan kejadian berulang," katanya.

Sementara itu, penduduk Azman Rafee berkata, kemudahan subsidi berkenaan seharusnya dinikmati oleh warga tempatan sahaja.

"Sungguh mengecewakan apabila ada warga asing terutama pelancong Singapura yang mengisi minyak RON 95 walaupun menyedari perbuatan itu menyalahi undang-undang. Teguran perlu diberikan kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing," katanya.

Kerajaan mengenakan larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sejak 1 Ogos 2010, dan aduan boleh disalur menerusi e-aduan KPDNHEP di portal kementerian, WhatsApp 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 5:54 PM