Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan bukan milik warganegara.

Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof berkata, dasar mengenai penggunaan petrol RON95 dan diesel adalah jelas kerana ia membabitkan subsidi dan tidak boleh digunakan kenderaan bernombor pendaftaran asing.

"Kenderaan asing yang menggunakan RON95 dan diesel bersubsidi boleh diambil tindakan mengikut peraturan undang-undang sedia ada termasuk syarikat pembekal minyak.

"Dengan kekuatan seramai 2,200 anggota dan pegawai penguat kuasa amat sukar kawalan dilakukan di setiap stesen minyak di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort serta Penyampaian Sumbangan Makanan Retort Program Food Bank Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha mengekang aktiviti salah guna petrol dan diesel subsidi oleh kenderaan asing dan aktiviti penyeludupan.

Katanya, KPDNHEP kini dalam proses untuk menggunakan teknologi atau kaedah bersesuaian dalam mengekang aktiviti berkenaan.

"Antaranya rekod simpanan dan jualan yang lebih teliti, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) oleh KPDNHEP di stesen minyak tertentu, penyamaran, perkongsian maklumat antara penduduk setempat dan sebagainya.

"Kita bukan sekadar memberi amaran, malah mengambil tindakan menyiasat setiap aduan yang berlaku sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 5:45 PM
Azman Mohd Yusof   semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort serta Penyampaian Sumbangan Makanan Retort Program Food Bank Malaysia di Hotel Primula Beach. FOTO GHAZALI KORI
Azman Mohd Yusof semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort serta Penyampaian Sumbangan Makanan Retort Program Food Bank Malaysia di Hotel Primula Beach. FOTO GHAZALI KORI