UTM mencatatkan peratusan GE tertinggi di negara ini bagi 2021 iaitu 97.94 peratus.
UTM mencatatkan peratusan GE tertinggi di negara ini bagi 2021 iaitu 97.94 peratus.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan peratusan Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam (GE) tertinggi di negara ini bagi 2021 iaitu 97.94 peratus.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, ia berdasarkan satu kajian dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sekali gus menjadikan pencapaian itu yang tertinggi dicapai oleh UTM

"Pencapaian itu seiring dengan misi universiti untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif demi pengkayaan khazanah negara.

"Dapatan daripada kajian ini juga membuktikan UTM berjaya menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan yang berkualiti dan kompeten sejajar dengan keperluan majikan.

"Dengan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, UTM akan terus kekal relevan untuk mensejahterakan kehidupan dan menjulang bangsa Kerana Tuhan untuk Manusia.

"Ini dapat dilihat menerusi kejayaan cemerlang berdasarkan pencapaian melebihi 85 peratus kebolehpasaran graduan bagi semua Program Akademik UTM 2021 yang ditawarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, UTM menjadi satu daripada universiti awam yang menyahut hasrat KPT untuk menjadikan agenda kebolehpasaran graduan sebagai agenda utama universiti.

"Pelan enVision 2025 UTM turut meletakkan kebolehpasaran graduan sebagai petunjuk prestasi utama yang menekankan kepada pendapatan berkualiti dengan kebolehpasaran premium," katanya.

Beliau berkata, menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2021 (SKPG) yang dijalankan ke atas 4,663 graduan semasa UTM, menunjukkan kelompok sasaran ini berjaya mendapat tempat dalam pasaran kerjaya di pelbagai sektor.

"Ada di antara mereka ditawarkan bekerja di syarikat dengan pendapatan berkualiti atau premium iaitu melebihi RM 4,000," katanya.

Dalam pada itu, menurut hasil kajian berkenaan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tangga kedua dengan pencapaian 96.9 peratus diikuti Universiti Malaysia Pahang selain Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan 96.2 peratus dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan pencapaian 95.4 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 1:53 PM