KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


DUA maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 55 Jalan Tawau-Semporna, dekat Tawau, semalam.

Kejadian 3.35 petang itu mengakibatkan pemandu Perodua Myvi, Sutrisno, 25, dan rakannya Gyatri Usman, 21, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Balung untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa bersama rakannya dari Kampung Pinang Kalumpang di Tawau.

Katanya, mereka dalam perjalanan menuju ke Semporna, manakala pacuan empat roda itu dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan apabila pacuan empat roda dipandu lelaki berumur 27 tahun dari arah Semporna gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Tindakan pemandu terbabit yang memotong di garisan berkembar membawa padah dan menyebabkan kenderaan dipandunya bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menjelaskan, akibat pertembungan itu, mangsa masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian hadapan.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga daripada empat sekeluarga yang menaiki pacuan empat roda itu mengalami kecederaan.

“Seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun mengalami patah tulang leher dan dirawat wad kecemasan Hospital Tawau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 9:03 AM