MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Recqueal Raimi


PENUNTUT kolej maut selepas Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 50, Jalan Ranau-Telupid di Kampung Nunuk Ragang di Ranau, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.25 tengah hari itu, Onnel Lukas, 18, dilaporkan parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Telupid menghala ke Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa cuba memintas sebuah van. Bagaimanapun, sebaik tiba di jalan berselekoh dan berbukit, sebuah 4WD Toyota Vigo Double Cab dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung," katanya.

Menurutnya, pemandu 4WD berusia 47 tahun dan tiga penumpang hanya mengalami cedera ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut manakala kedua-dua kenderaan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, enam anggota, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit namun dia disahkan meninggal dunia.

"Operasi ditamatkan 3.14 petang selepas pemeriksaan kenderaan yang terbabit kemalangan dijalankan bagi mencegah bahaya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 9:46 PM