Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan memohon bantuan kerajaan dalam menyediakan tempat khusus untuk Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Rantau Panjang yang mula beroperasi hari ini.

DATUK Shafien Mamat selepas  Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan sempena pembukaan pintu sempadan Negeri Kelantan di Pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafien Mamat selepas Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan sempena pembukaan pintu sempadan Negeri Kelantan di Pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, enam kuda di bawah kelolaan seorang pegawai dan 15 anggota dibawa ke Kelantan untuk kawalan sempadan dan ditempatkan sementara di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, pihaknya berharap agar kelulusan serta keputusan lokasi dapat diberi dengan lebih cepat bagi melancarkan lagi tugasan Unit Berkuda di sempadan Malaysia-Thailand melalui Ops Wawasan Kelantan.

"Tempoh setiap penugasan untuk Unit Berkuda adalah selama dua minggu yang akan dijalankan secara bergilir-gilir membabitkan tiga pangkalan iaitu di Cheras, Putrajaya dan Bukit Kiara.

"Kuda adalah inisiatif terbaik yang boleh digunakan untuk membantu tugasan kawalan sempadan kerana ia berkeupayaan untuk menjalankan rondaan di kawasan yang luas, berbukit, sungai serta kawasan sempit yang tidak boleh dilalui kenderaan.

"Selain Unit Berkuda, terdapat juga elemen lain yang turut digunakan untuk kawalan sempadan seperti Unit Anjing Pengesan (K9) dan penggunaan dron yang diperkenalkan terutama sebagai persediaan pembukaan sempadan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Negeri Kelantan di sini.

Dalam perkembangan sama, tiga anjing K9 turut disediakan dalam mengawal sempadan yang mana haiwan ini berupaya membantu menyelesaikan kes penyeludupan membabitkan bahan letupan dan senjata api, dadah serta jenayah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pihaknya turut berusaha untuk memenuhi keperluan pasukan keselamatan dalam menjaga sempadan negara.

Jelasnya, permohonan untuk menyediakan tempat khusus bagi Unit Berkuda FRU akan dibincangkan dengan segera sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan dalam mengekang masalah jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:29 PM