Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambahkan anggota bagi memperketatkan kawalan di laluan panas aktiviti penyeludupan di setiap sempadan negeri susulan pengumuman kebenaran pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya memang sudah merancang bagi penambahan anggota untuk ditempatkan di setiap sempadan negara termasuk di laut.

"Sebelum sebelum sempadan dibuka memang sudah ada aktiviti penyeludupan berlaku. Kita ada maklumat kita sendiri, dari semasa ke semasa kita membuat kajian dan akan menghantar penambahan anggota dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir program Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Bike Club (IPBC) di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini, hari ini.

Hazani (dua dari kanan) dan Mior Faridalathrash (kanan) menyambut ketibaab peserta konvoi program ISBC bersama Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh hari ini. Foto L Manimaran
Hazani (dua dari kanan) dan Mior Faridalathrash (kanan) menyambut ketibaab peserta konvoi program ISBC bersama Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh hari ini. Foto L Manimaran

Hadir sama Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Bagaimanapun, Hazani berkata, jumlah penambahan anggota berkenaan masih belum lagi ditentukan.

Beliau berkata, dengan pembukaan sempadan pihaknya sudah bersiap siaga termasuk dengan menggerakkan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke sempadan Kedah dan Perlis.

"Pada bulan hadapan akan menggerakkan pula Unit Berkuda FRU di sempadan Kelantan.

"Dengan pembukaan sempadan ini memang kita akan lebih berjaga-jaga dan kita sudah bersedia untuk mengawal keselamatan sempadan," katanya.

Ditanya berkenaan kawalan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, pemantauan akan dilakukan seperti mana sebelum ini.

"Kita akan membuat pemantauan SOP, rakyat lain masuk ke negara tetap kita akan membuat pemantauan SOP, dan kena ikut lah," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 7:04 PM