SOFIA Raniya ditemukan di lobi Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras. FOTO Ihsan PDRM
SOFIA Raniya ditemukan di lobi Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah anak saya selamat dan dalam keadaan menggigil serta menangis ketika berlari ke arah saya," kata seorang wanita dikenali sebagai Rayna.

Rayna berkata, sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras malam tadi, anaknya itu, Sofia Raniya, 8, terus berlari sebaik melihatnya dan menangis.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu menghebahkan maklumat mengenai anak saya sehingga dia ditemukan.

"Terima kasih sangat-sangat kepada semua..,. Alhamdulillah ya Allah," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sebaik selesai urusan di balai polis, dia terus ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, susulan laporan polis yang dibuat, polis Cheras menggerakkan semua elemen penugasan termasuklah pasukan siasatan bagi mengesan kanak-kanak yang hilang itu.

Selain itu, pihaknya memohon bantuan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui hebahan di media sosial.

"Pada 9.35 malam, kanak-kanak terbabit dijumpai dalam keadaan baik oleh orang awam di kawasan perkarangan lobi Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras yang kemudiannya menghubungi polis Cheras.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, kanak-kanak terbabit dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.

Beliau berkata, selesai proses dokumentasi, kanak-kanak terbabit diserahkan semula kepada keluarganya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab kanak-kanak terbabit boleh berada di kondominium itu.

"Polis Cheras memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Sofia Raniya ditemukan selamat
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 10:03 AM