KANAK-KANAK yang ditemukan selamat. FOTO Tular
KANAK-KANAK yang ditemukan selamat. FOTO Tular
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang hilang selepas ditinggalkan bapanya di dalam kereta di daerah ini, ditemukan selamat hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, kejadian berlaku 12.50 tengah hari ketika bapa mangsa mahu membeli makanan dan meninggalkan anaknya itu di dalam kereta dengan pintu tidak berkunci serta enjin tidak dimatikan.

"Hasil siasatan mendapati mangsa merayau-rayau keluar dari kereta sehingga pasangan suami isteri yang menaiki kereta terserempak dengan mangsa.

"Pasangan itu bertindak menghantar mangsa ke sekolah berdasarkan logo pada pakaian sekolah yang dipakai kanak-kanak terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa dihubungi guru sekolah terbabit dan memaklumkan mangsa dalam keadaan baik serta selamat

"Tiada tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kes ini. Ibu bapa dinasihatkan untuk menjaga keselamatan anak-anak.

"Sebarang maklumat orang ramai salurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622@hotline 07-5114486," katanya.

Sementara itu, keluarga kanak-kanak berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya berterima kasih kepada masyarakat setempat yang turut mendoakan keselamatan anaknya sehingga ditemukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 9:05 PM