PETIKAN video tular. FOTO ihsan pembaca
PETIKAN video tular. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan yang didakwa didera, keluar dari balkoni kondominium di Bukit Jalil, di sini, semalam, kerana mahu melihat kolam mandi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung video kejadian yang tular itu pada 4 petang, semalam.

"Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ Kuala Lumpur menjalankan siasatan berkaitan video berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak berusia lima tahun itu pergi ke rumah neneknya yang juga lokasi kejadian bersama keluarga untuk membuat persiapan majlis perkahwinan ibu saudaranya.

"Bapa kanak-kanak itu memaklumkan mangsa seorang yang hyperaktif. Ketika kejadian, mangsa keluar dari balkoni rumah terbabit kerana mahu melihat kolam mandi yang berada di tingkat bawah kondominium berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saiful Annuar berkata, selepas kira-kira tiga minit, ibu bapa kanak-kanak berkenaan berjaya memujuknya untuk masuk semula ke dalam kondominium.

"Kami membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan informasi dari sumber tidak sahih dan yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

"Kami juga memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang," katanya.

Katanya, pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di ibu kota ini ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, satu video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berdiri di luar balkoni kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang didakwa didera, tular di media sosial, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 10:35 AM