YUSUF Azmi. FOTO arkib NSTP
YUSUF Azmi. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi serta seorang individu dikenali sebagai Abang Ali antara enam individu yang ditahan polis berhubung kejadian seorang warga asing dipukul di sebuah premis di Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semua enam individu itu ditahan susulan penularan satu video berdurasi satu minit 21 saat sejak semalam.

"Semua individu yang ditahan berusia 24 hingga 54 tahun. Bagaimanapun, seorang daripada lima suspek berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Tindakan itu diambil selepas siasatan dilakukan mendapati suspek adalah pemilik premis di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, lima lagi suspek yang masih dalam tahanan dibawa ke Mahkamah Kajang bagi permohonan reman, hari ini.

"Mahkamah membenarkan kelima-lima suspek berkenaan direman selama satu hari.

"Siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis giat mengesan sekumpulan individu yang memukul lelaki warga asing selepas satu rakaman video berkaitan kejadian itu tular di media sosial sejak malam tadi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan kaki lima sebuah premis kedai di Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:46 PM