ANTARA komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket penipuan pelaburan Bitcoin. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket penipuan pelaburan Bitcoin. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Menyamar sebagai wanita di media sosial untuk memujuk mangsa menyertai pelaburan Bitcoin dalam talian yang tidak wujud.

Itu taktik digunakan satu sindiket penipuan pelaburan yang menjadikan seunit kondominium di Batu 9 Cheras, di sini sebagai pusat panggilan, sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kegiatan sindiket itu tumpas selepas pihaknya dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu premis itu, 8 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lima lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun dan merampas lima komputer riba serta 16 telefon bimbit pelbagai jenama, disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti penipuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, semua suspek didapati menyamar sebagai wanita di media sosial untuk menarik perhatian, sebelum mangsa dipujuk agar menyertai pelaburan Bitcoin dalam talian yang tidak wujud, menerusi platform Veltratrading.net.

"Siasatan mendapati, sindiket menyasarkan mangsa lelaki tempatan dan dipercayai sudah beroperasi selama tiga bulan," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini dinasihatkan tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tanaseelan di talian 012-4416412," katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak agar lebih berwaspada dengan sebarang pelaburan dalam talian yang berisiko palsu serta sering melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau menerusi aplikasi semak mule mahupun melalui portal https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk urusan membabitkan akaun bank dan nombor telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 5:19 PM