Imran (depan kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya. FOTO Samadi Ahmad
Imran (depan kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Seramai 100 anggota polis akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, di sini, susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, IPD KLIA sudah bersiap sedia sempena pembukaan pintu sempadan negara dengan menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan di dua lapangan terbang itu.

Menurutnya, anggota berkenaan akan ditempatkan di lokasi tumpuan di kedua-dua lapangan terbang itu bagi menunjukkan 'omnipresence' atau kehadiran polis.

Katanya, pada masa ini jumlah keanggotaan yang ditempatkan di dua lokasi itu sama seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan ditingkatkan bergantung kepada trafik ketibaan pelancong.

"Kita berharap agar semuanya akan berjalan lancar dan akan pastikan ketibaan pelancong berjalan dengan lancar, selamat dan cekap," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Polis Ke-215 di sini, hari ini.

Pada majlis itu Imran turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 61 penerima terdiri dari anggota pelbagai pangkat, orang awam dan rakan korporat di atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan kepada IPD KLIA.

Imran berkata, pihaknya sudah mengikuti beberapa siri taklimat dan mesyuarat bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) dan beberapa agensi lain bagi memastikan kelancaran menjelang pembukaan sempadan negara itu.

Menurutnya, polis menjangkakan kedua-dua pintu masuk udara negara itu akan mengalami kesesakan bermula 1 April.

Beliau turut mengingatkan pelancong asing supaya memuat turun aplikasi MySejahtera sebelum mendarat di negara ini bagi memudahkan pergerakan dan mengelak kesesakan di lapangan terbang.

"Kawalan keselamatan di KLIA dan klia2 sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan berharap ia berterusan apabila sempadan di buka kelak.

"Selain kawalan di lapangan terbang, polis juga akan memastikan pintu masuk udara itu bebas daripada ancaman keselamatan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:00 PM