GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula protokol pengurusan pengembara termasuk protokol kesihatan sebagai langkah persediaan ke arah pembukaan sempadan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan protokol baharu itu memerlukan pembabitan dan komitmen daripada semua agensi termasuk di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

"Sesi libat urus dan perbincangan dengan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga sudah diadakan sebagai persediaan pembukaan semula sempadan negara dengan selamat," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan pengembara yang memasuki negara ini untuk melengkapkan borang praperlepasan sebelum tiba di Malaysia.

Beliau berkata, antara punca kesesakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah pengembara tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan termasuk borang deklarasi status kesihatan, sijil vaksinasi, keputusan ujian pengesanan Covid-19 serta permohonan di rumah sebelum berlepas ke Malaysia.

"KKM sudah menyediakan ikon 'Traveller' dalam aplikasi MySejahtera, ia bagi memberi kemudahan kepada pengembara melengkapkan dokumen yang diperlukan ketika tiba di negara ini.

"Untuk permohonan kuarantin di rumah melalui sistem portal Home Quarantine Application (HQA), pengembara dikehendaki membuat permohonan dalam tempoh 10 hari sebelum tiba di Malaysia.

"Apabila mereka sudah melengkapkan kesemua dokumen berkenaan dalam aplikasi MySejahtera sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara tidak perlu mengimbas kod QR MySejahtera apabila tiba di KLIA.

"Mereka akan mendapat perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara automatik dalam aplikasi MySejahtera (digital HSO) selepas melengkapkan semua maklumat yang dikehendaki, bermula dari tarikh ketibaan ke Malaysia," katanya.

Katanya, mesyuarat penyelarasan antara pelbagai agensi turut diadakan bagi menambah baik proses ketibaan pengembara di KLIA termasuk daripada Jabatan Imigresen (JIM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Persatuan Syarikat Penerbangan.

"Berikutan itu, pihak Persatuan Syarikat Penerbangan memberi peringatan semula kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan prosedur prapelepasan dipatuhi.

"Pihak MAHB pula sudah menambah bilangan papan tanda proses kerja di KLIA bagi membantu pengembara. Libat urus dengan pihak kedutaan negara luar yang berada di Malaysia juga akan terus diadakan supaya pihak kedutaan memaklumkan kepada pengembara dari negara masing-masing untuk melengkapkan borang prapelepasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 5:30 PM