Kemasukan pelancong luar negara di KLIA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Kemasukan pelancong luar negara di KLIA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini menafikan berlaku monopoli oleh fasiliti operator perubatan swasta yang menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 di lapangan terbang yang dikendalikannya.

Dalam kenyataannya hari ini, MAHB menegaskan dakwaan itu tidak berasas berikutan ujian pengesanan Covid-19 bukan sesuatu yang wajib dilakukan sebaik pengembara tiba di lapangan terbang antarabangsa negara, ketika ini.

Ia menyatakan kemudahan itu sebaliknya disediakan bagi pengembara yang mahu menjalankan ujian pengesanan sebaik tiba.

"Ada empat operator fasiliti perubatan swasta berlainan yang menyediakan perkhidmatan di empat lapangan terbang iaitu BP Clinical Lab Sdn Bhd for untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Edgenta UEMS Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulang Pinang; MYEG Services Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching," katanya.

Kenyataan itu menyebut, berlaku kekeliruan membabitkan keperluan untuk melakukan ujian pengesanan RTK-AG di lapangan terbang sebaik pengembara tiba di Malaysia, susulan beberapa laporan media berhubung perkara itu baru-baru ini.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sempadan ditetapkan kerajaan menyatakan pengembara antarabangsa hanya perlu menjalani ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam sebaik tiba di Malaysia, di mana-mana pusat kesihatan swasta termasuk klinik dan hospital pilihan masing-masing.

MAHB berkata, pengembara antarabangsa tidak lagi perlu melakukan ujian pengesanan RTK-Ag di lapangan terbang seperti dinyatakan beberapa laporan media.

"Kerajaan kemudian mengumumkan pengecualian ujian pengesanan pada ketibaan oleh pengembara antara Malaysia dan Singapura bagi mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing, iaitu sebahagian daripada protokol keselamatan khusus antara kedua-dua negara.

"Sejak pembukaan semula sempadan dan amalan SOP sebelum berlepas dan ketibaan untuk pengembara ke Malaysia, proses kemasukan penumpang di lapangan terbang antarabangsa negara bertambah baik dengan ketara dari segi kecepatan dan kecekapan," katanya.

Sebelum ini BH dimaklumkan pembaca bahawa berlaku kesesakan di KLIA selepas ketibaan pengembara antarabangsa di negara ini apabila mereka mahu membuat ujian pengesanan di lapangan terbang itu sebelum keluar.

Satu rakaman yang disertakan menunjukkan sekumpulan penumpang beratur dan menunggu di satu lokasi dalam lapangan terbang berkenaan sebelum petugas kesihatan melakukan ujian pengesanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam satu kenyataan pada 24 Mac lalu, memaklumkan pengembara antarabangsa akan melalui saringan demam dengan imbasan pengimbas termal atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala untuk pemeriksaan lanjut di kaunter kesihatan di pintu masuk antarabangsa (PMA).

Beliau dilaporkan berkata, pengembara yang tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter Imigresen untuk semakan lanjut.

Pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Ag profesional dalam tempuh 24 jam ketibaan sama ada di fasiliti kesihatan swasta di PMA atau di luar PMA dengan keputusan ujian RTK-Ag akan diperolehi dalam aplikasi

MySejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 2:46 PM