Samadi Ahmad


Sepang: Seramai 10,000 pengembara dijangka tiba di negara ini melalui pintu masuk udara sempena pembukaan sempadan negara hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, lebih 110 penerbangan antarabangsa di jadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan lapangan terbang antarabangsa lain.

Katanya, setakat ini, 1,000 pengembara sudah memasuki negara melalui pintu udara antarabangsa.

"Jumlah pengembara antarabangsa dijangka terus meningkat memasuki negara dalam minggu ini dan minggu akan datang," katanya pada sidang media selepas menerima ketibaan 283 pengembara dari Abu Dhabi di balai ketibaan KLIA di sini, hari ini.

Berdasarkan jadual penerbangan dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dua terminal di KLIA akan menerima penerbangan termasuk dari Hong Kong, Incheon, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London.

PESAWAT AirAsia dari Jakarta yang mendarat di klia2 disambut dengan semburan air dan alunan muzik sempena pembukaan sempadan selepas lebih dua tahun sempadan negara ditutup. FOTO Rohanis Shukri
PESAWAT AirAsia dari Jakarta yang mendarat di klia2 disambut dengan semburan air dan alunan muzik sempena pembukaan sempadan selepas lebih dua tahun sempadan negara ditutup. FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) menerima tujuh ketibaan penerbangan, lima adalah dari Singapura dan dua dari Taipei manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dan Lapangan Terbang Ipoh (IPH) masing-masing menerima satu penerbangan dari Singapura.

Pesawat yang tiba dari luar negara turut menerima semburan air sebagai gimik ketibaan.

Pada majlis sama, Nancy turut beramah mesra bersama pelancong yang tiba selain mengagihkan beg cenderahati.

Nancy berkata, pihaknya menyasarkan 2 juta pelancong luarmemasuki negara ini dengan jumlah kutipan RM8.6 bilion pada tahun ini.

Katanya, beliau menyarankan pengusaha ecotourism agar menggunakan teknologi bagi mempromosi tempat pelancongan baharu itu yang menjadi pilihan ketika fasa peralihan endemik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 1:43 PM