SARAVANAN
SARAVANAN
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Gaji amah atau pembantu rumah Indonesia akan dibayar tidak kurang daripada gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) ditandatangani 1 April lalu.

"Jadi, saya berharap tiada lagi kekeliruan yang timbul berkaitan dengan gaji bagi PDI selepas ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar yang menyatakan gaji PDI bermula RM1,200.

Semalam Saravanan dilaporkan berkata, bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.

Beliau dipetik berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan permintaan Indonesia yang mahu pekhidmat domestik dari negara itu dibayar pada RM1,500 kecuali atas budi bicara majikan.

Mengulas perkara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono pula menegaskan majikan negara ini yang mahu mengambil pembantu rumah Indonesia perlu membayar gaji RM1,500 seperti dimeterai dalam MoU.

Pemeteraian MoU pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia pada 1 April lalu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, di Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:49 PM