Dr Abdul Raqib Abd Ghani (kiri) dan Dr Nor Halwani Habizal.
Dr Abdul Raqib Abd Ghani (kiri) dan Dr Nor Halwani Habizal.
Suliati Asri


Penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di seluruh dunia. Menyedari hakikat ini, bagi memberikan rawatan yang cepat dan khusus, menerima rujukan berkaitan permasalahan jantung dari seluruh negara dan melahirkan lebih ramai doktor pakar jantung, Pusat Rawatan Jantung Hospital Serdang ditubuhkan.

Ketua Unit Elektrofisiologi, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Jabatan Kardiologi Hospital Serdang, Dr Abdul Raqib Abd Ghani berkata, matlamat utama penubuhan Pusat Jantung Hospital Serdang adalah untuk memberi rawatan kepada pesakit dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira status sosioekonomi terutama rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan serta tidak memiliki polisi insuran dan bukan bertujuan mendapat keuntungan.

Katanya, dengan adanya pusat rawatan jantung, lebih ramai pakar kardiologi dari Kementerian Kesihatan Malaysia dapat dilatih untuk memberi rawatan yang bertaraf dunia, tepat dan segera kepada pesakit jantung.

"Kita harap pada masa akan datang, Pusat Jantung Hospital Serdang dapat memberi khidmat bertaraf dunia selepas mempunyai ramai tenaga pakar dan sentiasa mengadaptasi teknologi perubatan yang sentiasa berkembang maju serta berdasarkan kajian klinikal yang terbukti," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Jabatan Kardiologi Hospital Serdang Dr Nor Halwani Habizal berkata, rawatan paling cepat menyelamatkan pesakit yang berada di hospital adalah external defibrillator.

Namun, katanya, di Malaysia masih ada tempat awam yang tiada external defibrillator dan masih ramai rakyat juga tidak tahu cara menggunakannya.

"Oleh itu, untuk memberi perlindungan kepada pesakit ketika berada di luar hospital ialah implantasi Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) jika mereka tergolong dalam golongan berisiko dan ada indikasi," katanya.

Hospital Serdang sentiasa berkolaborasi dengan syarikat dan hospital perubatan luar negara untuk mempelajari teknik terbaru bagi membantu pesakit mempunyai masalah jantung.

Contoh kolaborasi Hospital Serdang dengan sebuah syarikat dan peranti perubatan terkemuka ialah memperkenalkan ICD/CRTD yang menggunakan teknologi bluetooth.

Mengulas lanjut, kata Dr Nor Halwani teknologi bluetooth ini yang pertama diperkenalkan dalam bidang implantasi ICD di negara ini manakala Hospital Serdang adalah hospital kerajaan yang pertama menggunakan teknologi peranti bluetooth ini dari syarikat terkemuka ini.

"Dengan teknologi bluetooth perkenalkan oleh syarikat dan peranti perubatan terkemuka ini, pesakit boleh menghantar maklumat dari peralatan ICD melalui bluetooth ke aplikasi mobil sahaja pesakit menerima renjatan elektrik dari ICD.

"Sebelum pesakit datang ke jabatan kecemasan, doktor pakar sudah tahu punca masalah yang berlaku pada pesakit.

"Dan ini boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan meningkatkan keberkesanan rawatan ke tahap maksimum," katanya.

Berkongsi mengenai perbezaan teknologi dahulu dan sekarang, kata Dr Nor Halwani, masalah pada ICD terdahulu ialah tiada pemantauan tiga hingga enam bulan sebaik pesakit keluar dari hospital.

Jadi, katanya, doktor tidak tahu jika pesakit mempunyai prognosis ritmia yang semakin teruk, terdapat masalah lead disebabkan terjatuh atau jangka hayat ICD generator semakin kehabisan.

"Pesakit boleh berhubung dengan Klinik Kardiologi setelah menerima renjatan elektrik supaya perlu pulang segera ke klinik atau meneruskan aktiviti seperti biasa atau pergi ke luar negara.

"Dengan pemantaun teknologi bluetooth, pengesanan ritma yang tidak sekata dan berbahaya akan dapat dikesan awal untuk rawatan selanjutnya seperti ubatan dan ablasi serta tidak perlu kerap datang ke hospital untuk pemeriksaan. Sebaliknya mereka boleh berinteraksi melalui telefon terutama pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 1:02 PM