DR Razali beramah mesra dengan Cheong yang menjalani implan S-ICD sambil diperhatikan ibunya Liew pada sidang media di IJN, semalam.
DR Razali beramah mesra dengan Cheong yang menjalani implan S-ICD sambil diperhatikan ibunya Liew pada sidang media di IJN, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Selepas implan pertama Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) berjaya dilakukan kira-kira 18 tahun lalu, Institut Jantung Negara (IJN) terus ke hadapan dalam memperkenalkan teknologi terbaru bagi pesakit jantung di Malaysia.

Terbaru, IJN mencatat kejayaan apabila menjadi hospital pertama di negara ini dan rantau Asia Pasifik yang menjalankan implan sistem Subcutaneous Implantable Defibrillator atau S-ICD yang fungsinya seakan sama dengan alat ICD.

Perunding Kardiologi dan ElektroFisiologi IJN, Datuk Dr Razali Omar berkata, prosedur implan itu dilakukan ke atas kanak-kanak perempuan, Cheong Guan Yee, 12, Selasa lalu.

Katanya, berbeza dengan ICD, alat peranti S-ICD terbabit hanya dipasang di bawah permukaan kulit pesakit dengan melakukan poket pembedahan berhampiran tulang rusuk untuk melindungi pesakit yang mempunyai risiko serangan jantung tiba-tiba (SCA).

“Alat peranti ini sebenarnya membantu pesakit yang mempunyai degupan jantung lebih laju berbanding normal atau ventricular fibrilation (VF).

“Ia akan mengesan aktiviti degupan jantung dan melakukan terapi kejutan terhadap jantung sekiranya diperlukan. Ia hanya dipasang di bawah permukaan kulit.

“Sama seperti prosedur implan ICD, alat ini memerlukan masa kira-kira 45 hingga 1 jam untuk dipasang pada badan pesakit,” katanya pada sidang media, di IJN, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi.

Alat peranti S-ICD yang dianggarkan seberat 45 gram terdiri daripada dua komponen iaitu penjana nadi yang memantau aktiviti jantung dan elektrod yang mengesan ritma jantung dan menjadi laluan bagi membolehkan terapi kejutan dilakukan mengikut keperluan.

Selain itu, Razali berkata, sistem S-ICD itu dianggarkan dapat bertahan di dalam badan pesakit sekitar lima hingga enam tahun sebelum perlu diganti kepada alat yang baru.

Katanya, pesakit yang menggunakan alat itu juga dapat menjalankan kehidupan harian secara normal, tetapi tidak digalakkan melakukan aktiviti sukan yang terlalu lasak.

“Ini adalah generasi pertama S-ICD dan kemungkinan akan keluar alat peranti generasi kedua yang lebih kecil untuk pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:10 AM