Isteri Menteri Kesihatan, Nori Tun Abdullah (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Hari Kebaya Merah - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki
Isteri Menteri Kesihatan, Nori Tun Abdullah (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Hari Kebaya Merah - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki
Mohammad Asyraf Khalib

PENINGKATAN kadar penyakit jantung membabitkan golongan wanita semakin membimbangkan di negara ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 13.4 peratus kematian membabitkan golongan wanita dilaporkan sejak 2020 berpunca daripada penyakit jantung iskemik.

Lebih membimbangkan, angka kematian disebabkan penyakit itu dilaporkan terus meningkat berbanding penyakit kronik lain seperti kanser payudara.

Bimbang dengan situasi ini, Persatuan Kardiologi Hospital Serdang menganjurkan Hari Kebaya Merah bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit jantung terutama dalam kalangan wanita.

Sukar dikesan

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Hospital Serdang, Dr Abdul Muizz Abdul Malek, tanda serangan jantung pada wanita lebih sukar dikesan apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan, ia sudah berada pada tahap serius serta sukar dirawat.

"Bagi pesakit lelaki, mereka kebiasaannya mendapat tanda lebih jelas seperti sakit dada yang serius, berbanding wanita yang kadang-kala hanya berasa letih, berpeluh, berdebar-debar atau berasa kurang selesa di dada.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Serdang Dr Abdul Muizz Abdul Malek - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki

"Keadaan ini menyebabkan ramai pesakit wanita lebih suka menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana beranggapan ia adalah simptom keletihan biasa," katanya dalam satu sesi ceramah kesihatan bertajuk 'Kesihatan Jantung Untuk Wanita' sempena Hari Kebaya Merah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perkhidmatan Kardiologi Hospital Serdang, Datuk Dr Asri Abdullah Ramalah ketika ditemubual Harian Metro meluahkan kebimbangan mengenai fenomena gelombang penyakit jantung yang dilaporkan meningkat mendadak selepas pandemik Covid-19.

Dr Asri Abdullah Ramalah memberi penerangan kepada Nori Tun Abdullah ketika sesi lawatan di ruang pameran - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki

"Sepanjang tempoh pandemik selama lebih dua tahun ini, kami dapati insiden berkaitan penyakit jantung jatuh merudum, bagaimanapun ia bukan disebabkan penyakit itu berkurangan sebaliknya ramai pesakit takut untuk datang ke hospital untuk berjumpa doktor kerana bimbang dengan jangkitan Covid-19.

"Sekarang kita dapati selepas Covid-19 berkurangan, pihak hospital berdepan 'tsunami' penyakit jantung, semakin ramai yang datang jumpa doktor tetapi dengan simptom komplikasi jantung yang sudah lewat," katanya.

Justeru, Dr Asri menyeru orang ramai tanpa mengira peringkat umur khususnya golongan wanita untuk segera melakukan saringan kesihatan di klinik atau hospital berhampiran apabila mendapati terdapat tanda-tanda yang tidak normal pada diri.

Perkhidmatan kardiologi Hospital Serdang

Berkongsi mengenai perkhidmatan kardiologi di Hospital Serdang, Pengarah Hospital Dr Md Fikri Abu Bakar berkata, Jabatan Kardiologi Hospital Serdang menjadi satu-satunya pusat rawatan tertiari yang menawarkan subkepakaran rawatan jantung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di Selangor dan Lembah Kelang.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan Hospital Serdang tidak terhad mengikut lokasi itu sahaja, sebaliknya menjangkau sempadan negeri membabitkan penerimaan rujukan pesakit dari negeri Melaka, Negeri Sembilan serta Perak dan Pahang.

Pengarah Hospital Serdang, Dr Md Fikri Abu Bakar - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki

"Perkhidmatan yang disediakan mencakupi pelbagai cabang termasuk servis pesakit luar, pesakit dalam dan juga rawatan harian.

Ia merangkumi perkhidmatan Klinik Pakar Kardiologi, Unit Rawatan Koronari (CCU), Wad Dependensi Tinggi Jantung (CHDW), Wad Kardiologi 6E, Makmal Non-Invasif Kardiologi (NICL) dan Makmal Invasif Kardiologi (ICL).

"Setiap hari, Klinik Pakar Kardiologi dan Makmal Non-Invasif Kardiologi merawat sehingga 300 pesakit, manakala rawatan invasif termasuk 'coronary angiography', 'coronary angioplasty', electrophysiological study' serta 'device implantation' dijalankan ke atas 40 hingga 50 pesakit sehari," beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Kebaya Merah.

Nori dibawa melawat ruang pameran - FOTO Oleh Mohd Rashidy Ahmad Marzuki

Selain menjadi simbolik bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit jantung iskemik dalam kalangan wanita, Hari Kebaya Merah juga dianjurkan sempena meraikan sambutan Hari Jantung Sedunia yang berlangsung serentak di seluruh dunia pada 29 September setiap tahun.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan Persatuan Kardiologi Hospital Serdang termasuk ceramah kesihatan, forum, perkongsian pengalaman sebenar pesakit jantung wanita, pemeriksaan kesihatan dan pameran.

Turut hadir merasmikan majlis pelancaran Hari Kebaya Merah adalah isteri kepada Menteri Kesihatan, Nori Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:14 AM