TEKNOLOGI pertama seumpamanya di dunia yang dipakaikan kepada pesakit.
TEKNOLOGI pertama seumpamanya di dunia yang dipakaikan kepada pesakit.
PESAKIT jantung terdedah kepada risiko kematian mengejut.
PESAKIT jantung terdedah kepada risiko kematian mengejut.
Muhamaad Razis Ismail


KESEDARAN masyarakat negara ini terhadap kematian mengejut dan rawatannya masih lagi kurang.

Perunding Pakar Kardiologi (Electrophysiology) di Hospital Serdang, Dr Abdul Raqib Abd Ghani berkata, masyarakat perlu tahu bahawa terdapat segelintir pesakit koronari jantung dan lemah jantung juga terdedah kepada kematian mengejut.

"Pengetahuan resusitasi kardiopulmonari atau CPR dalam kalangan masyarakat umum sekiranya berlaku kematian mengejut di dalam komuniti juga masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

"Setiap saat adalah berharga apabila seseorang itu mengalami jantung terhenti mengejut dan rawatan kecemasan perlu diberikan secara segera untuk mengelakkan komplikasi yang berpanjangan, seperti kecacatan otak ataupun kematian," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini tiada angka rasmi jumlah kes jantung terhenti mengejut di negara ini kerana sukar untuk menentukan sama ada pesakit meninggal dunia akibat gangguan irama jantung atau komplikasi penyakit jantung yang mereka hidapi terutamanya bagi pesakit luar.

"Bagaimanapun, data daripada Jabatan Statistik Malaysia pada 2019, daripada 109,164 kematian, penyakit arteri koronari jantung kekal sebagai punca utama kematian, iaitu 15 peratus.

"Kegagalan jantung turut menyumbang kira-kira 6 hingga 10 peratus kemasukan pesakit ke hospital di Malaysia," katanya.

DR Abdul Raqib
DR Abdul Raqib

Dr Abdul Raqib berkata, jantung terhenti mengejut adalah satu keadaan apabila fungsi jantung untuk mengepam darah terganggu secara mengejut disebabkan ritma jantung yang sangat laju dan kadang kala tidak teratur.

"Apabila keadaan ini berlaku, pam jantung hilang koordinasi untuk mengepam darah ke seluruh badan secara efektif dan pesakit hilang kesedaran.

"Pesakit juga boleh mengalami sawan kerana darah tidak sampai ke organ kritikal terutamanya otak dan sekiranya berterusan tanpa intervensi akan mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya.

Jelasnya, jantung terhenti mengejut boleh berlaku tanpa mengira waktu dan tempat.

"Namun begitu sekiranya mengamalkan pemakanan yang tidak terkawal, contohnya bagi pesakit kencing manis boleh mengakibatkan paras gula menjadi tidak terkawal dan cenderung tercetusnya serangan koronari jantung.

"Pengambilan juadah yang mengandungi garam yang tinggi boleh menaikkan tekanan darah tinggi atau menyebabkan kegagalan jantung di luar kawalan bagi pesakit lemah jantung kronik," katanya.

Mengulas lanjut, Hospital Wearable Defibrillator (HWD) adalah peranti penyelamat nyawa yang dipakai oleh pesakit berisiko tinggi untuk terkena sindrom kematian mengejut ketika dirawat di dalam hospital.

HWD mampu membantu menyelamat pesakit berisiko tinggi terkena sindrom kematian mengejut.
HWD mampu membantu menyelamat pesakit berisiko tinggi terkena sindrom kematian mengejut.

Peranti ini akan mengesan ritma jantung yang sangat laju dan kadang kala tidak teratur sebaik sahaja ia berlaku dan memberikan rawatan defibrilasi atau kejutan elektrik untuk menetapkan semula ritma jantung ke asal dalam masa 30 ke 60 saat.

"Ia adalah teknologi pertama seumpamanya di dunia yang dipakaikan kepada pesakit seperti sebuah kantung dan mengurangkan masa yang diambil untuk meredakan ritma jantung pembunuh yang kucar kacir ketika jantung terhenti mengejut.

Beliau berkata, Hospital Serdang adalah satu-satunya pusat jantung di negara ini dan kedua di luar Amerika Syarikat yang menggunakan HWD.

"Di hospital awam Malaysia, kelulusan untuk mendapatkan pembiayaan peranti defibrilator mungkin mengambil masa sehingga seminggu, justeru perlu ada langkah lain sementara mendapat kelulusan.

"Pandemik Covid-19, memberi kesan kepada penjagaan pesakit di unit penjagaan rapi apabila pesakit berisiko tinggi dipindahkan ke wad kurang kritikal.

"HWD dapat menampung keadaan ini dan boleh memberi manfaat kepada hospital yang berhadapan dengan isu sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:40 AM