ROZITA menerima rawatan di HRPZ.
ROZITA menerima rawatan di HRPZ.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: “Degupan jantung tidak normal menyebabkan saya kerap pengsan. Doktor pakar sarankan saya menjalani pembedahan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) bagi membantu degupan jantung kembali normal.

“Tetapi kos pembedahan sebanyak RM45,000 di luar kemampuan saya sedangkan prosedur itu perlu dijalankan secepat mungkin,” kata Rozita Ramli, 40, yang mengalami masalah degupan jantung tidak normal.

Ibu empat anak yang menetap di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia dikesan mengalami masalah degupan jantung tidak normal sejak tujuh tahun lalu.

“Berikutan itu, saya perlu menyediakan tabung gas oksigen kerana akan mengalami gangguan pernafasan setiap kali degupan jantung tidak stabil,” katanya.

Rozita berkata, masalah kesihatan itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan bergantung kepada pendapatan suami yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan di Wakaf Che Yeh bagi menampung kos perubatan dan menyara keluarga.

“Pendapatan suami sebulan antara RM1,000 dan RM2,000 dan jumlah itu tidak mencukupi kerana kami ada empat anak dengan tiga daripada mereka bersekolah.

“Sejak Februari tahun lalu, saya kerap pengsan dan terpaksa ditahan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi rawatan.

“Kali terakhir ditahan di wad bagi rawatan pada 14 Mac hingga 21 April lalu dan doktor meminta saya menjalani pembedahan segera, tetapi saya maklumkan tidak mampu,” katanya.

Menurutnya, masalah kesihatannya itu dirujuk kepada pakar di Hospital Serdang dan dia akan menjalani pemeriksaan di hospital terbabit pada 23 hingga 24 Mei ini.

“Saya dimaklumkan pembedahan itu membabitkan saluran konduksi pada jantung yang mungkin boleh membantu menstabilkan degupan jantung,” katanya.

“Saya bingung bagaimana mahu cukupkan RM45,000 yang diperlukan.

“Tidak lama lagi saya terpaksa ke Hospital Serdang dan suami terpaksa bekerja keras bagi menampung kos perjalanan dan penginapan kami di sana, sedangkan pendapatannya tidak tetap,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB milik Rozita Ramli, 03130000065204.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:53 AM