Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan dan parti perlu seiring untuk memastikan kelangsungan perjuangan diteruskan agar terus relevan diterima rakyat.

Ketua Bahagian Umno Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan menuding jari sesama ahli parti juga perlu dihentikan dan semuanya perlu kembali merapatkan jurang persefahaman.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang lebih penting, Umno dan BN perlu mengukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Ini adalah realiti yang perlu diterima supaya Umno dan BN terus diterima rakyat dalam PRU-15.

"Hentikan menuding cari sesama kita dan terus rapat barisan seperti yang diucapkan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dalam ucapan dasar tadi," katanya ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2021 (Pau 2021) di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan untuk membubarkan Parlimen, beliau berkata, semua pihak perlu menunggu pendirian parti yang akan dipanjangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam. FOTO IHSAN UMNO
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam. FOTO IHSAN UMNO

Katanya, jangan sesekali membelakangkan hak untuk membubarkan Parlimen kerana ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong yang akan menentukannya kelak.

"Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan perlu mengetahui kedudukan parti dan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh PRU-15," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menteri daripada Umno tidak cemerlang.

"Jika tidak 'perform', sudah pasti Pilihan Raya Negeri tidak akan mencapai keputusan yang membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 1:11 PM