Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap yakin bahawa parti itu akan terus disokong masyarakat Melayu dan Islam pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau optimis dengan sokongan itu meskipun timbul ura-ura bahawa 'perpindahan' 10 'warlord' yang disisihkan UMNO boleh menjejaskan momentum Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN itu menegaskan adalah mustahak untuk menangkis fitnah dilontarkan musuh politik kerana ia sebelum ini, parti pernah terkesan dengan tindakan sedemikian.

"Telah beberapa kali keadaan itu berlaku. Insya-Allah orang Melayu Islam khususnya akan terus menyokong UMNO.

"Tetapi kita mesti melempiaskan soal fitnah dan mehnah (ujian) yang dilontarkan oleh mereka kerana ia agak terkesan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dan PRU15.

"InsyaAllah, kita ada Ketua Penerangan (UMNO) baharu (Datuk Seri Azalina Othman Said). Kita ada Setiausaha Agung baharu (Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki). Insya-Allah, cara bergerak itu akan berbeza daripada waktu lampau," katanya pada sidang media selepas melawat Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL). FOTO AZIAH AZMEE
Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL). FOTO AZIAH AZMEE

Hadir sama Asyraf Wajid, Azalina dan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Media sebelum ini melaporkan, Perikatan Nasional (PN) mendakwa sekurang-kurangnya 10 warlord daripada UMNO dijangka menyertai gabungan itu sebelum PRN.

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris sambil menjelaskan, antara mereka yang dijangka menyertai gabungan terbabit adalah pemimpin yang disisihkan UMNO.

Razali berkata demikian ketika ditanya berkenaan pemimpin UMNO selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang disebut-sebut bakal menyertai PN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:35 PM