Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan empat sekeluarga maut di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 27 Februari lalu.

Tertuduh, Aliff Asyraf Abu, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, Aliff Asyraf yang memandu Toyota Hilux didakwa memandu kenderaan itu dengan melulu atau kelajuan merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian terhadap pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, S C Tinisha, 31 dan tiga yang lain iaitu Milan Damani, 32; Ishaan Ivaan Damani, 3, dan Rivaan Ivaan Damani, 4.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 11.20 pagi pada 27 Februari lalu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

ANGGOTA polis trafik membantu Aliff Asyraf (dua kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
ANGGOTA polis trafik membantu Aliff Asyraf (dua kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi

Bagaimanapun, Muhammad Izzaf Hasizan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya sudah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

"Ini adalah kali pertama tertuduh dituduh di mahkamah dan ketika kejadian tertuduh bukanlah berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Beliau bukanlah penjenayah 'hardcore'.

"Tertuduh bekerja sebagai mekanik dengan gaji harian dan sudah tidak dapat bekerja sejak kemalangan akibat kecederaan dialami," katanya.

Muhammad Izzat juga memaklumkan bahawa ibu tertuduh yang tidak bekerja juga hadir di mahkamah sebagai penjamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 9 pagi dengan bertongkat, memakai pendakap leher dan pendakap pinggang kerana kecederaan tulang belakang itu juga terpaksa dibantu anggota polis untuk berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 1:46 PM