MIN Chun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong. FOTO Bernama
MIN Chun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong. FOTO Bernama
BERNAMA

Batu Pahat: Jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Parit Sulong, di sini, akhir bulan lalu.

Tan Min Chun, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini, pada 3.30 petang pada 27 Mac lalu dengan memandu kenderaan jenis Mazda CX5 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Kamarul Shahril A Samad, 43.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Tan Song Yan yang mewakili Min Chun memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya masih menanggung isteri dan anak berusia setahun selain menjaga ibunya yang sudah berusia.

Majistret Siti Zubaidah Mahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:19 PM