EMPAT remaja lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar.
EMPAT remaja lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar.
HM Digital

Alor Setar: Empat mat rempit termasuk seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam kerana menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 secara berbahaya, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Azlin Che Lah, 21, Norshahizan Ismail, 32, Ahmad Asyraf Zakaria, 25 dan seorang lagi remaja berusia 18 tahun mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Aizuddin Zolkefly.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh berlumba dan melakukan aksi zig zag secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya sebanyak enam pusingan sebelum berhenti di dalam kawasan Muzium Kota Lama, Kuala Kedah di simpang Kedai Karaoke Padang Garam dan simpang tiga Kampung Sungai Dua, 5 petang pada Jumaat lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Azlin, Norshahizan dan Ahmad Asyraf dihukum penjara lima hari serta denda RM5,000 selain turut menjalani tambahan hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Lesen mereka turut digantung selama dua tahun dan kesalahan itu akan direkodkan di dalam lesen memandu masing-masing.

Sementara hukuman ke atas pesalah juvana pula, ditangguh sehingga 24 Januari tahun depan bagi mendapatkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dilepaskan dengan jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin.

Mohd Azlin turut mengaku salah atas dakwaan menggunakan nombor pendaftaran palsu KEB 41 pada tarikh dan lokasi yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:40 AM