HAFIZ Mahyiddin. FOTO Mahaizura Abd Malik
HAFIZ Mahyiddin. FOTO Mahaizura Abd Malik
Mahaizura Abd Malik


Pasir Gudang: Biarpun berkerusi roda, dua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di sini, tidak patah semangat dan melepaskan peluang menunaikan hak mereka, hari ini.

Ahmad Taha @ Idris Omar, 78, yang berkerusi roda sejak lima tahun lalu akibat gout dan uzur berkata, setiap kali pilihan raya dia akan mengambil bahagian membuang undi.

"Memang sejak muda lagi tak akan ketinggalan melainkan ada perubahan tempat mengundi atau keadaan sakit.

"Walaupun sakit-sakit sendi dan sudah tak kuat lagi, saya tetap mahu keluar mengundi hari ini," katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Masai, di sini, hari ini.

Sementara itu, penyelia tapak, Hafiz Mahyiddin,34, berkata, dia masih lagi dalam cuti sakit selepas kakinya patah akibat terbabit kemalangan, bulan lalu.

"Ini kali kedua saya mengundi. Jadi saya tak mahu terlepas peluang ini walaupun kaki saya belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani fisioterapi.

"Saya bangun awal pagi tadi dan bersemangat hendak datang mengundi di sini kerana sayang kalau saya tak membuang undi memandangkan peristiwa ini jarang berlaku," katanya.

Seramai 4,723 pengundi berdaftar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas layak mengundi di SK Taman Rinting 1 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Kerusi DUN Permas menyaksikan persaingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib; Perikatan Nasional (PN), Tazul Arifin; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahaya Ahad; Pakatan Harapan (PH), Syed Othman Syed Abdullah serta Parti Warisan (Warisan), Mohamed Ridza Busu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 10:32 AM