Mahaizura Abd Malik


Johor Bahru: Buat pertama kalinya dalam sistem demokrasi negara, pengundi berusia 18,19 dan 20 tahun diberikan hak memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Rata-rata pengundi baharu itu teruja mengambil bahagian dalam peristiwa bersejarah negeri ini.

Nur Farisha Wahida Mostapha @ Zakaria, 19, berkata, dia memanfaatkan cuti pertengahan semester Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak untuk keluar mengundi pagi ini.

Katanya, dia sedikit gementar untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan yang buat pertama kali dilakukan dalam hidupnya.

"Saya rasa agak gementar sedikit kerana tak tahu hendak memilih siapa, tetapi keluarga saya memberikan semangat untuk keluar mengundi hari ini.

"Saya agak lega selepas membuang undi dan bangga menjadi sebahagian daripada pengundi lain untuk memilih kerajaan negeri demi kepentingan masa depan rakyat Johor," katanya ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Masai, Pasir Gudang, hari ini.

Sementara itu, pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Sanjena Ananthan, 18, yang membuang undi di SK Taman Sutera berkata, perasaannya bercampur baur antara teruja dan gementar kerana berpeluang kali pertama diberikan hak memilih pemimpin.

"Saya rasa gementar tetapi teruja kerana saya tak mahu ketinggalan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah Johor hari ini.

"Langkah kerajaan beri peluang kepada golongan muda seperti saya mengundi bagus menunjukkan suara anak muda macam kami ini penting dalam demokrasi negara," katanya.

Seramai 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas di Johor susulan pendaftaran automatik Undi18 layak membuang undi pada PRN Johor hari ini.

Ia menjadikan jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus iaitu 2,539,606 orang berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 12:13 PM
PENGUNDI muda, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, dan Sanjena Ananthan, 18, mengundi bagi Dun Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENGUNDI muda, Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, dan Sanjena Ananthan, 18, mengundi bagi Dun Perling di SK Taman Sutera, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan