Petugas SPR menyusun logo parti bertanding ketika melakukan persiapan terakhir untuk hari mengundi di di SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar sempena PRN Johor esok. Foto Hairul Anuar Rahim
Petugas SPR menyusun logo parti bertanding ketika melakukan persiapan terakhir untuk hari mengundi di di SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar sempena PRN Johor esok. Foto Hairul Anuar Rahim
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, dengan melebihi majoriti mudah.

BN diramalkan mampu menang antara 30 hingga 35 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan, kurang sedikit berbanding majoriti dua pertiga yang memerlukan kemenangan sebanyak 38 kerusi.

BN dijangka tidak mengalami masalah besar mengekalkan kerusi di kubu kuatnya di kawasan luar bandar terutama di Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Bagaimanapun, di beberapa kawasan terutama Endau dan Bukit Kepong pula, Perikatan Nasional (PN) dikatakan berupaya mengekalkan kerusi yang disandang kerana faktor calon anak tempatan yang disukai.

Cabaran PN pada PRN Johor tidak boleh diambil mudah kerana parti itu mampu memberi cabaran sengit kepada BN dan PH, apatah lagi jentera PN dilihat lebih tersusun dan agresif di kawasan kerusi majoriti Melayu sekali gus mampu membuat kejutan.

PN tampil dengan naratif mesra Felda, selain manifestonya pelbagai bantuannya yang dilihat mampu menarik golongan atas pagar.

Bagaimanapun, cabaran utama PN adalah kesukaran menarik undi kaum Cina yang ternyata lebih berpihak pada DAP, manakala undi kaum India dijangka kembali kepada BN.

DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga gabungan PH pula dilihat mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 14 kerusi tradisi yang dimenangi mereka termasuk di Jementah, Penggaram, Parit Yaani, Yong Peng, Bekok, Paloh, Mengkibol, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Senai, Skudai, Perling, Johor Jaya dan Stulang.

PKR dijangka mampu menang dan mengekalkan dua kerusinya iaitu Pemanis dan Bukit Batu, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat mampu memenangi kerusi Puteri Wangsa.

Johor mempunyai 23 DUN di kawasan pinggir bandar, 20 DUN luar bandar, manakala 13 lagi DUN di kawasan bandar.

Antara faktor yang membolehkan BN meraih kemenangan berikutan pembangkang yang dilihat tidak bersatu sebagai sebuah gagasan kukuh berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perpecahan pembangkang juga ketara apabila PKR memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri berbanding logo Pakatan Harapan (PH), sekali gus mengelirukan jentera yang terpaksa bergerak berasingan, selain penyokong melihat sesuatu yang tidak kena berlaku pada gagasan pembangkang.

Tindakan Muda yang meletakkan calonnya di kerusi DUN Larkin sekali gus bertindih dengan calon PKR juga memberi isyarat salah kepada pengundi tentang kesepakatan mereka apabila diberi kuasa nanti.

Selain itu, peratusan keluar mengundi rendah disumbangkan pengundi luar yang tidak pulang mengundi selain golongan yang menganggap tiada keperluan untuk mereka keluar mengundi berikutan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19 serta PRN tidak mampu mengubah kerajaan Persekutuan, memberikan BN kelebihan untuk mencapai kemenangan.

Pada PRN Johor kali ini, sekurang-kurangnya 10 DUN berhadapan saingan sengit berikutan kekuatan calon yang diturunkan, selain kompisisi kaum yang seimbang.

Antara kerusi berkenaan adalah Yong Peng, Bekok, Tangkak, Parit Yaani, Kota Iskandar, Kempas,Paloh, Endau, Simpang Jeram selain Puteri Wangsa yang hampir pasti kekal dengan pembangkang.

Kerusi DUN Kempas dan Tiram yang buat julung kali menyaksikan persaingan tujuh penjuru juga dijangka sengit membabitkan pertembungan antara BN dan PKR.

Calon BN dan PKR di DUN Kempas iaitu Datuk Ramlee Bohani dan Napsiah Khamis Maharan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik sokongan pengundi.

Ia berikutan Ramlee yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pulai dikenali pengundi berikutan aktif dengan kerja akar umbi dan kemasyarakatan, manakala Napsiah yang juga Ketua Wanita PKR Johor pula dijangka menggamit pengundi wanita yang signifikan di kawasan itu.

DUN Tiram juga bakal menyaksikan pertembungan sengit antara calon BN dan PKR iaitu Azizul Bachok dan S Gopalakrishnan yang juga penyandang kerusi itu.

Ia berikutan pengundi India yang juga pengundi signifikan di kawasan Tiram didakwa kembali menyokong BN, namun kekuatan Gopalakrishnan yang lebih berpengalaman tidak boleh dipandang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 5:32 PM