W James dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
W James dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh dan mencabul seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh W James, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret V Vanita selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menceroboh masuk rumah seorang wanita berusia 29 tahun di Taman Ria Batu 2 1/2, Port Dickson pada jam 6.10 pagi, 6 Mac lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu tertuduh juga didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada jam 5.59 pagi pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda dan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan(YBGK).

Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 22 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 1:45 PM