MUHAMAD Izuwan Kamaruddin, (baju merah) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang.
MUHAMAD Izuwan Kamaruddin, (baju merah) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang.
Sarah Zulkifli


Ampang: Seorang pemandu Grab Car mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tiga pertuduhan mencabul, mencedera dan mengugut penumpang wanitanya yang juga penuntut kolej swasta, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Izuwan Kamaruddin, 38, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 18 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan ugutan jenayah pada mangsa sama dengan niat menyebabkan ketakutan yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 4:47 AM