VASUTHEVAN menunggu di luar kamar perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
VASUTHEVAN menunggu di luar kamar perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini, atas dua pertuduhan menceroboh dan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan jirannya, minggu lalu.

D Vasuthevan, 34, bagaimanapun mengakui tidak memahami bahasa Melayu menyebabkan Hakim Rohaida Ishak menetapkan 2 Jun depan untuk pertuduhan dibacakan semula di Mahkamah Majistret Sungai Siput dengan kehadiran jurubahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menceroboh masuk rumah wanita berusia 57 tahun berkenaan tanpa kebenarannya dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di Ladang Kamiri, Sungai Siput jam 1.30 pagi 12 Mei lalu.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh pada waktu dan lokasi sama didapati menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita itu dengan niat mencabul kehormatannya.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala untuk pertuduhan kedua, kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Rohaida bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh selain menetapkan tertuduh dibawa ke Penjara Taiping sementara menunggu sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 2:56 PM