AMIRUL Mu'minin (baju biru) dan Nor Asedah (baju ungu) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas empat pertuduhan mencuri di sekitar Port Dickson bulan lalu. FOTO Azrul Edham
AMIRUL Mu'minin (baju biru) dan Nor Asedah (baju ungu) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas empat pertuduhan mencuri di sekitar Port Dickson bulan lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Seremban: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, tadi, atas empat pertuduhan mencuri di sekitar Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh Amirul Mu'minin Mustaffa, 38 dan isteri, Nor Asedah Zaidi, 38, yang tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka mencuri iPad dan telefon bimbit milik seorang lelaki di kawasan parkir, Pantai Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson pada 20 Januari lalu.

Tertuduh juga didakwa mencuri harta kepunyaan seorang wanita iaitu komputer riba selain menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa.

Kesalahan dilakukan di parkir Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson dan sebuah stesen minyak di Jalan Pantai, Port Dickson pada 27 Januari lalu.

Selain itu mereka turut didakwa mencuri kamera dan lensa jenama Sony di bawah jagaan seorang lelaki di hadapan banglo Maybank, Blue Lagoon, Teluk Kemang, Port Dickson pada 4 Februari lalu.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 26 Mac depan.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzati Mohd Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Iwana Sakinah Mohd Lajis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:13 PM