Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersedia untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, segala persiapan dan persediaan bagi menghadapi banjir yang berlaku disebabkan monsun timur laut (MTL) hampir selesai.

"Persiapan itu memang sedang berjalan (dan) kita juga sudah menerima peruntukan-peruntukan dan aset-aset yang tertentu daripada kerajaan pusat dan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) pada Isnin lalu.

"Kita sentiasa bersedia dengan apa juga (situasi) cuma kita juga berdoa supaya pada tahun ini (banjir) tidak sebagaimana tahun-tahun yang sebelum ini ketika kita berdepan dengan keadaan (banjir) yang buruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu Hanafiah Mat berkata, peruntukan berjumlah RM2.5 juta sudah diluluskan setakat ini sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

Menurutnya, ia membabitkan peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) berkapasiti besar di Marang, 17 depoh mini dan 149 pengkalan hadapan terdapat di seluruh negeri.

"Semua bekalan keperluan mangsa bencana ini akan mula diagihkan bermula awal sehingga pertengahan Oktober depan ke depoh mini dan pengkalan hadapan termasuk di kawasan terputus hubungan seperti Pulau Redang serta Pulau Perhentian.

"JKM turut menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu dan pusat itu dijangka mampu menampung seramai 147,600 mangsa banjir pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, sebanyak 21 siren turut dipasang di kawasan berisiko iaitu di Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.

Katanya, siren itu akan memberi amaran awal kepada penduduk untuk segera berpindah ke PPS berhampiran dan orang ramai diharapkan mengambil langkah awal bagi mengelak mereka terperangkap dalam banjir.

"Selain itu, sebanyak 187 stesen hidrologi pemantauan banjir akan beroperasi di seluruh negeri pada musim tengkujuh yang berfungsi sebagai amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya.

"Setakat ini, tujuh unit 'webcam'dipasang di beberapa sungai utama di enam daerah sebagai penanda aras amaran awal banjir iaitu dua di sungai daerah Kemaman dan masing-masing satu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun," katanya.

Daripada segi aset dan kekuatan agensi penyelamat pula, Hanafiah berkata, hampir 3,000 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersiap sedia bersama aset masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:30 PM
AHMAD Samsuri semasa sidang media pada Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri semasa sidang media pada Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori