Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Seorang eksekutif teknologi maklumat di Bentong rugi RM15,915 Isnin lalu, selepas menyertai satu skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang lelaki berusia 30 tahun berkenalan dengan suspek di Facebook.

"Selepas berbincang dengan suspek, mangsa setuju menyertai pelaburan yang ditawarkan.

"Mangsa kemudiannya melakukan lapan transaksi ke akaun bank diberikan suspek," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan.

Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 1:45 PM