Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang tukang rumah kerugian sebanyak RM50,160 selepas terpedaya dengan tawaran penjualan kereta scrub Singapore yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 50 tahun tertarik dengan tawaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dengan harga RM24,000.

Menurutnya, sebelum itu mangsa melihat iklan dalam Facebook seterusnya menghubungi Mr Ng melalui WhatsApp dan menyatakan minat untuk membeli kereta.

"Lelaki berkenaan (Mr Ng) meminta mangsa menyerahkan salinan MyKad yang dihantar melalui

WhatsApp seterusnya mangsa di arahkan untuk membuat pembayaran bagi proses pembelian kereta yang diinginkan itu.

"Mangsa telah membuat 10 transaksi pembayaran bermula pada 2 hingga 11 Ogos lalu, sebanyak RM50,160 dimasukkan ke dalam tiga akaun yang berbeza dengan pelbagai alasan sehingga pengadu mahu membatalkan pembelian tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa di janjikan wang yang dibayar akan di kembalikan tetapi sehingga kini mangsa tidak menerima wang berkenaan dan Mr Ng gagal dihubungi.

Mohd Wazir berkata, mangsa merasa di tipu dan memutuskan untuk membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Dalam kes lain, seorang penuntut berumur 23 tahun dari Jerantut kerugian RM6,900 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM6,900 ke dalam tiga akaun yang berbeza kelmarin, bagaimanapun mangsa tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan.

"IPD Kuantan semalam menerima sebanyak tiga laporan kes penipuan membabitkan jualan kereta, pelaburan dan syarikat penghantaran yang tidak wujud dengan kerugian lebih RM61,000.

"Semua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 8:51 AM