FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shahrinnahar Latib


SEORANG peneroka menanggung kerugian sebanyak RM64,770 selepas diperdaya seorang lelaki menawarkan pinjaman peribadi didakwa tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 67 tahun itu mengenali suspek ketika menghadiri majlis anjuran sebuah parti politik di Karak, pada awal 2016.

“Ketika perjumpaan kali pertama itu, mangsa memaklumkan kepada suspek dia ingin membuat pinjaman RM200,000 bagi memulakan perniagaan.

“Suspek meminta mangsa membuat pembayaran permulaan sebagai yuran proses (permohonan).

“Mangsa yang mempercayai suspek menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada suspek pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat pelbagai lagi bayaran secara tunai dan pemindahan wang untuk tujuan kelulusan permohonan pinjaman.

“Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan wang diberikan kepada suspek adalah RM64,770. Sebelum ini, suspek memberikan mangsa sekeping cek bernilai RM168,000, namun meminta peneroka itu tidak menunaikannya hingga dimaklumkan.

“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:46 PM