GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


SEORANG pesara kerajaan berputih mata selepas kerugian RM53,500 angkara diperdaya pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa sanggup menunggu hampir empat tahun bagi mengaut keuntungan hasil pelaburan saham berkenaan.

Menurutnya, mangsa berusia 60 berminat membuat pelaburan selepas dipengaruhi rakannya pada 2017 selepas menerima tawaran itu daripada rakannya.

"Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia akan menerima keuntungan berterusan dan wang modal dikembalikan selepas setahun, jika sanggup melabur sebahagian wang simpanannya untuk pelaburan saham itu.

"Mangsa kemudian mengatakan minat selepas diberitahu bahawa duit pelaburan itu ditukarkan kepada bitcoin dalam nilai AS$ dan akan masuk ke dalam akaun cyrptogold miliknya," katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, tanpa berfikir panjang mangsa membuat pemindahan sebanyak dua kali pada 28 November 2017 sebanyak RM26,500.

"Seterusnya pada 24 Januari 2018 mangsa sekali lagi membuat pindahan wang sebanyak RM27,000 ke akaun yang sama.

"Namun sehingga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Termeloh, mangsa masih tidak menerima apa-apa pulangan," katanya.

Menurutnya kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah memperdaya mangsa dengan pelaburan saham yang tidak wujud sehingga mengalami kerugian dan tidak menerima pulangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:18 PM