SURAU di Terbok laluan Pasir-Mas ke Rantau Panjang digenangi air sehingga ke paras bumbung selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu. FOTO Bernama
SURAU di Terbok laluan Pasir-Mas ke Rantau Panjang digenangi air sehingga ke paras bumbung selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu. FOTO Bernama
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus bertambah kepada 8,000 orang setakat 4 petang ini berbanding 7,579 mangsa, pagi tadi.

Mereka membabitkan 2,586 keluarga kini ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai iaitu 7,637 orang yang ditempatkan di 23 PPS.

Mangsa banjir di Tanah Merah pula seramai 172 orang, diikuti Tumpat mencatatkan 117 mangsa, Pasir Puteh merekodkan 43 mangsa dan Kuala Krai seramai 31 orang.

Sementara itu, mengikut portal eBanjir Kelantan, 21 jalan ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan iaitu Pasir Mas (15), Kuala Krai (3) dan masing-masing satu di Machang, Tumpat serta Tanah Merah.

Jalan di Pasir Mas yang ditutup termasuk Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah, Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang dan Lubok Jong-Tanah Merah.

Selain itu, di Machang pula Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata, Tanah Merah (Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah) dan Jalan Cabang Empat/Kampung Jambu/Meranti di Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:01 PM