SEKITAR keadaan banjir di Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
SEKITAR keadaan banjir di Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 3,258 orang daripada 965 keluarga setakat 3 petang ini berbanding 3,534 orang pada 9 pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 13 PPS ditutup termasuk dua di Jeli berikutan daerah itu sudah pulih sepenuhnya daripada banjir.

Mangsa banjir berkenaan membabitkan 2,098 lelaki dan wanita dewasa, 1,160 bayi dan kanak-kanak, 135 warga emas serta 27 orang kurang upaya (OKU).

Jumlah mangsa di Pasir Mas meningkat kepada 1,416 orang di sembilan PPS, manakala di Kuala Krai menunjukkan penurunan kepada 1,106 orang berada di 20 PPS, Gua Musang 635 orang di tiga PPS dan Tanah Merah 101 orang di dua PPS.

Mangsa banjir di Pasir Mas semakin bertambah berikutan paras air Sungai Golok meningkat susulan aliran air dari Sungai Jenob, Tanah Merah turun ke lokasi itu.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, terdapat 13 jalan ditutup iaitu enam di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai, masing-masing dua di Tanah Merah dan Machang.

Antara jalan yang ditutup di Pasir Mas ialah Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Banggol Kulim Rantau Panjang, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Jalan Sekolah Cina, Jalan Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh dan Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah.

Selain itu, Jalan Jirat, jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/Kampung Bedal/Kuala Nal di Kuala Krai, Kampung Kuala Hau-Temangan, Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata di Machang serta Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah di Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 6:10 PM