SEBAHAGIAN penduduk Kampung Tersang meredah air banjir untuk berpindah ke PPS. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penduduk Kampung Tersang meredah air banjir untuk berpindah ke PPS. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 3,408 mangsa daripada 1,016 keluarga sehingga jam 9 pagi ini, berbanding 3,660 orang, 5 petang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak tujuh PPS ditutup iaitu satu di Gua Musang dan enam di Kuala Krai, susulan mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas sahaja yang menunjukkan sedikit peningkatan kepada 1,974 orang di 11 PPS berbanding petang semalam, iaitu 1,874 mangsa.

Selain itu, mangsa banjir di tiga daerah lain berkurangan iaitu Kuala Krai (983 mangsa di 13 PPS), Gua Musang (550 orang di dua PPS) dan Tanah Merah (101 orang di dua PPS).

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan terdapat 11 jalan yang ditutup iaitu enam di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan dua di Tanah Merah.

Antara jalan yang ditutup di Pasir Mas termasuk Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang dan Jalan Sekolah Cina.

Di Tanah Merah, Jalan Tanah Merah- Kusial- Kampung Ipoh dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah.

Jalan ditutup berikutan paras air yang masih tinggi di lokasi itu sekali gus membahayakan nyawa pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 10:08 AM