LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
Norasikin Daineh


LELAKI yang menembak mati seorang lelaki ketika majlis hari jadi keluarganya di Kampung Linayukan, Tongod, Ahad lalu, ditahan polis di Jalan Tongod-Telupid, Kinabatangan, pagi hari ini.

Lelaki warga tempatan berusia 30-an itu diburu polis kerana melarikan diri selepas menembak mati lelaki berusia 40 tahun dalam kejadian itu menggunakan senapang buatan sendiri, bakakuk.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, operasi mengesan suspek dilakukan sejak Isnin lalu sebelum berjaya ditahan pada 8.30 pagi hari ini.

“Suspek dikenal pasti sebagai penduduk tempatan yang melarikan diri selepas kejadian pembunuhan berlaku dengan menembak mangsa menggunakan bakakuk.

“Suspek berada di sekitar kampung dan bersembunyi dalam ladang kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, hasil maklumat yang diterima pihaknya bersama sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berjaya mengesan suspek.

“Siasatan masih diteruskan dan suspek ditahan kerana kesalahan membunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ahad lalu, dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa dikatakan menghadiri majlis hari jadi yang turut dihadiri suspek sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka.

Difahamkan, kedua-dua lelaki bersama ahli keluarga lain meraikan sambutan majlis itu sambil meminum minuman keras sehingga mabuk.

Namun, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-duanya sebelum suspek bertindak membawa bakakuk dan melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.

Berita berkaitan

Maut dibedil di majlis hari jadi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 11:44 PM